Aura cinta sebentuk cincin

Oleh NOOR FAZRINA

Cinta sejati akan terus bersemi selama-lamanya,
cincin menyatukan dua hati menjadi satu.
CINCIN di jari manis pengantin perempuan lambang cinta sejati.
Ibu jari mewakili ibu bapa,
Jari telunjuk mewakili adik-beradik,
Jari tengah mewakili diri sendiri,
Jari manis mewakili pasangan,
Jari kelengkeng mewakili anak-anak.
PETIKAN puisi nukilan pujangga Inggeris tidak bernama ini menjawab persoalan mengapa cincin dipilih untuk disarungkan pada jari manis pengantin perempuan.
Jari manis yang mewakili pasangan adalah tempat paling ideal untuk meletakkan sesuatu yang bermakna dalam perhubungan - berharga seperti sebentuk cincin.
Cincin juga ibarat kuasa yang menyatukan dua hati insan yang melafaz janji untuk setia sepanjang hayat.
Walau ada pasangan yang inginkan kelainan dengan menggunakan barang kemas lain seperti rantai atau gelang tangan, tidak akan sama nikmatnya seperti menyarung cincin pada jari manis si isteri.
Dalam kebanyakan adat, cincin diberikan sebagai tanda perkenalan, pengikat (pertunangan) serta perkahwinan. Bagi masyarakat Melayu pula, cincin seperti sudah menjadi item 'wajib bawa' semasa majlis merisik dan pertunangan.
Bagaimana hebat pun hantaran 'serba berdiri', aura cincin dalam majlis perkahwinan tetap relevan.
Namun jangan pula asyik kaitkan cincin dengan tanda dimiliki seseorang. Ini kerana wanita membeli cincin bukan hanya kerana mereka ingin berkahwin atau bertunang, tetapi mereka juga mahukan lebih keyakinan dalam penampilan.
Bagi kebanyakan orang Melayu, mereka lebih sukakan cincin emas kuning. Ada yang memberikan alasan kerana ia lebih menyerlah dan emas kuning juga diibaratkan seperti pelaburan jangka panjang yang menguntungkan berbanding emas putih.
Namun jika kita perhatikan trend hari ini, semakin ramai pasangan yang memilih emas putih sebagai cincin perkahwinan mereka untuk nampak lebih muda dan bergaya.

zulkepli.com "Love from one side hurts, but love from two sides heals."